ahlan wasahlan

bismillahrrahmanirrahim

Saturday, June 18, 2011

Istilah bohong sunat

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri

Assalamualaikum w.b.t.....
Mesti pernah dengarkan pantun di atas kan? Sejak kecil lagi kita telah dididik supaya tidak berbohong. Bohong adalah menyatakan sesuatu yang tidak benar dan kita sendiri tahu bahawa hal itu tidak benar. Bohong juga disifatkan sebagai dusta. Menurut pandangan Islam, hukum berbohong adalah haram. Hal ni kerana, orang yang berbohong termasuk dalam golongan orang-orang munafik dan tempat mereka di dalam neraka yang paling bawah.


Dalam hadis riwayat Abdullah Umar, Rasulullah pernah menegaskan 4 sifat orang munafik, iaitu:
  1. Apabila diberi amanah, dia khianat
  2. Apabila bercakap, dia berbohong
  3. Apabila berjanji, dia memungkiri janji
  4. Apabila berkelahi, dia berlaku zalim
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Ibnu Mas’ud, Rasulullah bersabda:

“Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang berbohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”

Allah S.W.T juga berfirman yang bermaksud:
“Jangan kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak tahu mengenainya. Pendengaran dan penglihatan serta hati akan ditanya mengenai segala yang dilakukannya.”
(Surah Al-Isra’:36)

Namun, Islam itu indah. Islam memberi kelonggaran berbohong dalam keadaan tertentu. Rasulullah ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat mahu mendamaikan orang lain atau untuk kebaikan sesama masyarakat, dia tidak dikira berbohong.

Dalam satu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah S.A.W memberi kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak benar kecuali dalam 3 perkara:
  1. Ketika peperangan
  2. Untuk mendamaikan masyarakat/organisasi yang bertelagah
  3. Dalam perhubungan suami isteri
Justeru, kita sebagai umat Islam, janganlah menjadikan bohong sebagai amalan untuk menyelamatkan diri sendiri dalam sesuatu keadaan. Walaupun diberikan kelonggaran untuk berbohong, sekiranya boleh dielak, lebih baik dielakkan. Semoga kita dijauhi dari perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah. Amin….

Friday, June 17, 2011

Mengapa Rasulullah memilih miskin

Bismillahirrahmanirrahim....


Sebenarnya, orang miskin memperolehi banyak kelebihan. Antaranya adalah orang miskin tidak dihisab dan 2 rakaat orang miskin lebih baik daripada 1000 rakaat orang kaya. Rasulullah S.A.W miskin bukan kerana tidak dapat harta. Sebaliknya, baginda sentiasa mendapat rezeki yang melimpah ruah. Namun, baginda tidak sempat mengumpul harta tersebut. Jika baginda sempat mengumpul harta, pasti baginda sudah menjadi kaya.

Dalam Islam tidak mengapa jika kita mempunyai harta yang banyak, tetapi jangan dibekukan harta itu. Sebab itulah empayar Islam dahulu cepat berlalu dan umat Islam segera membangun, hal ini adalah kerana masing-masing tidak ghairah membolot kekayaan untuk diri sendiri sebaliknya berlumba-lumba untuk mengagih-agihkannya untuk kepentingan masyarakat.

Justeru, Rasulullah meminta untuk menjadi miskin supaya rakyat dan agama Islam menjadi kaya. Begitu juga dalam jemaah perjuangan Islam, individu-individu dan para pemimpinnya, peribadi mereka miskin, tetapi secara lahiriah mereka seperti orang kaya. Sebenarnya, walaupun jemaahnya yang kaya, namun manfaatnya turut dirasakan oleh semua orang. Inilah jemaah yang memperjuangkan Allah sebagai cinta agungnya.

Oleh yang demikian, janganlah kita memandang rendah dan memperlekehkan orang miskin. Barangkali orang miskin itu lebih baik daripada orang kaya. Kepada mereka yang kaya, perlulah bijak dalam menguruskan harta. Belanjakanlah harta ke jalan Allah. Semoga niat kita yang murni kerana Allah itu akan diterima oleh-Nya. InsyaAllah. Renung-renungkanlah dan selamat beramal. Wallahu a'lam...

Thursday, June 16, 2011

Burulah cinta yang hakiki

Bismillahirrahmanirrahim....

Cinta adalah fitrah manusia....fitrah manusia yang ingin disayangi dan menyayangi, ingin dikasihi dan mengasihi serta ingin dicintai serta mencintai. Perasaan cinta itu tidak salah diberikan sesama makhluk tetapi cinta agung hanya layak diberikan kepada Tuhan yang telah mencipta kita. Bahkan, cinta sesama manusia tidak akan kekal. Paling lama sekadar tempoh masa kita masih hidup. Mereka yang gagal mendapat dunia yang dicintai dan diburunya itu, ramai yang sakit jiwa dan berputus asa. Bahkan ada yang sanggup bunuh diri kerana kecewa dalam percintaan yang tidak kekal itu.

Sedarlah bahawa cinta kepada makhluk dan cinta daripada makhluk bukanlah cinta yang hakiki dan sejati. Sebaliknya, berilah dan terimalah cinta yang kekal abadi yakni cinta agung dengan mencintai Allah S.W.T. Cinta ini jika berjaya diperoleh adalah cinta yang paling memuaskan dan menenangkan. Buahnya paling menghiburkan dan membahagiakan. Tetapi malangnya, cinta yang agung ini jarang dititikberatkan. Mungkin dalam jutaan manusia hanya seorang yang memburunya.

Jika seseorang itu telah mencintai dan dicintai Allah, jangan bimbang jika dibenci manusia, kerana masih ramai yang menyayangimu di dunia, tetapi bimbanglah jika dibenci Allah kerana tiada sesiapa yang menyayangimu di akhirat. Hebat bukan cinta Allah? Barang sesiapa yang menjadikan Allah sebagai cinta agungnya, amat beruntunglah hidupnya di dunia serta di akhirat. Marilah kita bersama-sama mengejar dan memburu cinta yang hakiki...Wallahu a'lam...

Wednesday, June 15, 2011

Riya' vs Ujub

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....


Setelah berfikir punya berfikir, akhirnya saya telah memilih tajuk ini untuk dikongsikan bersama. Riya' adalah satu sifat yang bertentangan dengan sifat ikhlas yang mana seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk menunjuk-nunjuk supaya dirinya mendapat pujian dan dipandang tinggi. Manakala, Ujub adalah satu sifat kagum atau bangga terhadap diri sendiri. Ujub ini merupakan penyakit hati yang buruk kerana boleh membawa kepada sifat ghurur iaitu terpedaya dengan kehebatan sendiri. Secara tidak langsung, ujub juga menyebabkan seseorang menjadi sombong diri. Kedua-duanya adalah sifat yang buruk dan patut kita jauhi.

Riya' merupakan sifat orang munafik dan merupakan salah satu daripada dosa besar. Ia juga merupakan maksiat hati yag mampu menggugat kejernihan jiwa dan amal seseorang. Nabi S.A.W pernah mengingatkan umatnya bahawa riya' itu sebagai syirik batin dan syirik kecil yang tersembunyi. Mereka yang memiliki sifat riya' ini akan diberikan balasan oleh Allah S.W.T di akhirat kelak. Allah S.W.T memerintahkan 3 orang iaitu orang yang berjihad, ahli al-Quran dan orang kaya yang riya' dalam amalan mereka dicampakkan ke dalam neraka kerana mereka beramal bukan kerana Allah. Mereka yang melakukan solat dalam keadaan riya' juga akan mendapat balasan neraka wail iautu tingkatan neraka yang ke-4. Allah akan menyuruh mereka meminta ganjaran dan balasan daripada orang yang dipertunjuk-tunjukkan amalannya di akhirat kelak

Ujub pula akan timbul apabila seseorang merasa ilmunya banyak, pandai dan alim berbanding orang lain. Dia sentiasa menyalahkan orang lain dan merasa hanya dirinya sahaja yang betul, suka melakukan kerja di hadapan orang lain dan mengambil kira kedudukan dan pangkat untuk dipuji, disebut-sebut dan dipuja. Mereka ini lebih suka mencari keredhaan manusia dan tidak tahan dengan ujian.

Justeru, kita perlulah berusaha untuk menghindarkan diri daripada sifat riya' dan ujub ini dengan merasa takut dengan kemasyuran kerana bimbang akan mempengaruhi diri dan agama. Ibrahim bin Adham pernah berkata, "Orang yang gila masyhur memang tidak jujur dengan Allah." Janganlah kita taksub pujian. Saidina Ali apabila dipuji, dia akan berdoa, "Ya Allah, janganlah engkau salahkan aku dengan apa yang mereka katakan, jadikanlah diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan, dan ampunilah aku terhadap perkara-perkara yang mereka tidak tahu." kita juga perlulah sentiasa mengingati bahawa segala kelebihan dan keistimewaan adalah anugerah Allah S.W.T. Allah boleh menarik anugerah itu bila-bila masa sekiranya Dia menghendakinya. Oleh itu, kita perlulah istiqamah memohon doa dan pertolongan daripada Allah dan berusaha melakukan seseuatu dengan ikhlas dengan niat kerana Allah S.W.T semata-mata. InsyaAllah...

Tuesday, June 14, 2011


Banyak berdiam tidak semestinya bodoh, Banyak bercakap tidak semestinya cerdik, Kerana kecerdikan itu buah fikiran, Orang cerdik yang diam lebih baik daripada orang bodoh yang banyak bercakap.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Berdasarkan ayat di atas jelas sekali menegaskan bahawa berdiam lebih baik daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Hal ini kerana, melalui perbualan bersama rakan-rakan atau sesiapa sahaja, tanpa kita sedar kita telah melakukan dosa besar. Dosa yang dimaksudkan adalah dosa daripada mengumpat. Secara tidak langsung, mereka yang mengumpat telah mencela dan mengaibkan orang lain.

Mengumpat atau ghibah dalam bahasa arabnya merupakan salah satu sikap suka menceritakan keburukan atau kelemahan orang lain yang ada pada manusia. Sikap ini dilaknat oleh Allah S.W.T. Justeru, kita sebagai umat Islam, haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang tidak disukai dan dimurkai oleh Allah S.W.T. Hal ini kerana, Allah mengumpamakan orang-orang yang mengumpat seperti memakan daging saudaranya sendiri. Sanggupkah kita makan daging saudara kita? Manusia waras tidak akan sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.Nauzubillah.

Terdapat manusia yang suka mengumpat terutama golongan wanita tetapi itu tidak bermakna lelaki tidak mengumpat. Mereka juga tidak kurangnya. Setiap hari ada sahaja perkara yang hendak diumpatkan terutama perihal peribadi seseorang. Sehingga kadang-kadang perkara yang diumpatkan membawa kepada fitnah. Subhanallah...semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini. Bukankah fitnah itu lebih teruk daripada membunuh?

Firman Allah S.W.T :

"Hai orang yang beriman, kalau datang kepadamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan sesuatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatanmu itu."
(Surah Al-Hujurat : Ayat 6)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjauhkan buruk sangka, kerana buruk sangka itu setengah daripada dosa besar, janganlah kamu mengintai dan janganlah kamu mencerca serta mengumpat, setengah kamu akan setengah lain. Apakan kamu suka memakan dangging saudara kamu yang telah mati? Nescaya kamu takut kepada Allah bahawasanya Allah itu Penerima taubat”
(Surah al-Hujurat: Ayat 12)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
"Yang paling dikasihi oleh Allah antara kamu ialah mereka yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai beraikan di antara sesama saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah."

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W :

“Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat.
(Riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Namun, oleh kerana mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Inilah hakikat perlu direnungkan. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri
(Riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat balasan kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Rasulullah SAW juga pernah bersabda :
“Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”.

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah, “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab, “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

Tetapi, jika pahala orang yang mengumpat sudah habis untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Oleh itu, bercakaplah apabila ada keperluan sahaja. Jika perkara tersebut tidak memberi sebarang faedah malah memudaratkan, lebih baik kita memilih untuk mendiamkan diri. Perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Semoga kita mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T. InsyaAllah. Wallahu a'lam...

Sunday, June 12, 2011

7 Kalimah


Barang siapa yang mengingati dan mengamalkan 7 kalimah ini, dia akan dipandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walaupun sebanyak buih-buih di lautan...

  1. Mengucap Bismillah setiap kali hendak melakukan sesuatu perkara
  2. Mengucapkan Alhamdulilah selepas selesai melakukan sesuatu perkara
  3. Mengucapkan Astaghfirullah jika melafazkan sesuatu perkara yang tidak patut diucap
  4. Mengucapkan InsyaAllah jika merencanakan sesuatu untuk hari esok
  5. Mengucap La Haula Wala Kuwwata Illa Billah jika menghadapi sesuatu perkara yang tidak disukai dan diingini
  6. Mengucapkan Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun jika menghadapi dan menerima sesuatu musibah
  7. Mengucap La Ilaha Illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang hingga tidak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, supaya ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi biasa, kerana sudah biasa

Marilah kita sama-sama menjadikan kalimah-kalimah ini sebagai amalan harian. Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah S.W.T...InsyaAllah

Saturday, June 11, 2011

Kedudukan dalam solat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....
Bismillahirrahmanirrahim.....alhamdulillah kerana Allah masih mengizinkan saya untuk meng'upadate' blog saya ini....kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu tentang solat. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat." Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya
② Doa anak²nya yang soleh
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain

Marilah kita bersama-sama memahami kedudukan dalam solat ataupun sembahyang.
Sebenarnya, setiap perbuatan di dalam solat itu ada maksudnya. Sesungguhnya, setiap sesuatu yang Allah ciptakan tiada sia-sianya, pasti ada hikmah disebaliknya. Yang mana kalau kita faham, akan menjadikan kita lebih khusyuk semasa mendirikan solat.



Mengangkat takbiratul ihram...
Apabila kita mengangkat takbir, kedua tangan kita menghadap kiblat...menandakan kita benar-benar menghadapkan diri kepada Allah S.W.T. Belakang tangan kita pula bermaksud kita meninggalkan segala persoalan dunia di belakang kita.

Berdiri tegak...
Berdiri tegak bermaksud kita bersedia untuk bertugas kepada Allah. Seolah-olah seorang askar yang hendak pergi berperang. Patuh dan taat kepada komandannya. Kita ini hanya seorang hamba yang sanggup melakukan apa sahaja untuk Allah.

Tangan...
Tangan yang kita lekapkan pada perut yakni pusat kita itu mengingatkan kita tentang mati. Begitulah keadaan kita ketika mati nanti. Ia juga menandakan tanggungjawab yang kita pikul. Berbanding dengan seorang yang melenggangkan tangannya. Ia mengingatkan kita bahawa kita hidup di dunia ini ada tanggungjawab dan tugas kita yang kita perlu laksanakan menurut apa yang diperintahkan oleh Allah.

Rukuk...
Apabila kita rukuk pula, kita bayangkan diri kita ini seperti binatang-binatang yang hina. Begitulah hinanya diri kita jika kita tidak betul-betul menurut perintah Allah. Malah libih hina lagi kerana binatang tidakdikurniakan akal untuk berfikir, sebaliknya kita Allah bekalkan akal fikiran ini pula yang bersikap seperti binatang.

Sujud...
Apabila kita sujud, ia mengingatkan diri kita yang kita ini akan kembali ke tanah, dam kita juga hina seperti tanah. Di saat ini jugalah allah paling hampir dengan diri kita. Iaitu di saat kita paling merendahkan diri dan melekapkan anggota kita yakni kepala yang mulia ke tanah. Itulah sifat yang Allah hendak kita kekalkan setiap masa.

Oleh itu, marilah kita sama-sama renung-renung dan selamat beramal...:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...