ahlan wasahlan

bismillahrrahmanirrahim

Tuesday, June 14, 2011


Banyak berdiam tidak semestinya bodoh, Banyak bercakap tidak semestinya cerdik, Kerana kecerdikan itu buah fikiran, Orang cerdik yang diam lebih baik daripada orang bodoh yang banyak bercakap.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Berdasarkan ayat di atas jelas sekali menegaskan bahawa berdiam lebih baik daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Hal ini kerana, melalui perbualan bersama rakan-rakan atau sesiapa sahaja, tanpa kita sedar kita telah melakukan dosa besar. Dosa yang dimaksudkan adalah dosa daripada mengumpat. Secara tidak langsung, mereka yang mengumpat telah mencela dan mengaibkan orang lain.

Mengumpat atau ghibah dalam bahasa arabnya merupakan salah satu sikap suka menceritakan keburukan atau kelemahan orang lain yang ada pada manusia. Sikap ini dilaknat oleh Allah S.W.T. Justeru, kita sebagai umat Islam, haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang tidak disukai dan dimurkai oleh Allah S.W.T. Hal ini kerana, Allah mengumpamakan orang-orang yang mengumpat seperti memakan daging saudaranya sendiri. Sanggupkah kita makan daging saudara kita? Manusia waras tidak akan sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.Nauzubillah.

Terdapat manusia yang suka mengumpat terutama golongan wanita tetapi itu tidak bermakna lelaki tidak mengumpat. Mereka juga tidak kurangnya. Setiap hari ada sahaja perkara yang hendak diumpatkan terutama perihal peribadi seseorang. Sehingga kadang-kadang perkara yang diumpatkan membawa kepada fitnah. Subhanallah...semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini. Bukankah fitnah itu lebih teruk daripada membunuh?

Firman Allah S.W.T :

"Hai orang yang beriman, kalau datang kepadamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan sesuatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatanmu itu."
(Surah Al-Hujurat : Ayat 6)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjauhkan buruk sangka, kerana buruk sangka itu setengah daripada dosa besar, janganlah kamu mengintai dan janganlah kamu mencerca serta mengumpat, setengah kamu akan setengah lain. Apakan kamu suka memakan dangging saudara kamu yang telah mati? Nescaya kamu takut kepada Allah bahawasanya Allah itu Penerima taubat”
(Surah al-Hujurat: Ayat 12)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
"Yang paling dikasihi oleh Allah antara kamu ialah mereka yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai beraikan di antara sesama saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah."

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W :

“Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat.
(Riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Namun, oleh kerana mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Inilah hakikat perlu direnungkan. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri
(Riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat balasan kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Rasulullah SAW juga pernah bersabda :
“Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”.

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah, “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab, “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

Tetapi, jika pahala orang yang mengumpat sudah habis untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Oleh itu, bercakaplah apabila ada keperluan sahaja. Jika perkara tersebut tidak memberi sebarang faedah malah memudaratkan, lebih baik kita memilih untuk mendiamkan diri. Perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Semoga kita mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T. InsyaAllah. Wallahu a'lam...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...