ahlan wasahlan

bismillahrrahmanirrahim

Saturday, June 18, 2011

Istilah bohong sunat

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri

Assalamualaikum w.b.t.....
Mesti pernah dengarkan pantun di atas kan? Sejak kecil lagi kita telah dididik supaya tidak berbohong. Bohong adalah menyatakan sesuatu yang tidak benar dan kita sendiri tahu bahawa hal itu tidak benar. Bohong juga disifatkan sebagai dusta. Menurut pandangan Islam, hukum berbohong adalah haram. Hal ni kerana, orang yang berbohong termasuk dalam golongan orang-orang munafik dan tempat mereka di dalam neraka yang paling bawah.


Dalam hadis riwayat Abdullah Umar, Rasulullah pernah menegaskan 4 sifat orang munafik, iaitu:
  1. Apabila diberi amanah, dia khianat
  2. Apabila bercakap, dia berbohong
  3. Apabila berjanji, dia memungkiri janji
  4. Apabila berkelahi, dia berlaku zalim
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Ibnu Mas’ud, Rasulullah bersabda:

“Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang berbohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”

Allah S.W.T juga berfirman yang bermaksud:
“Jangan kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak tahu mengenainya. Pendengaran dan penglihatan serta hati akan ditanya mengenai segala yang dilakukannya.”
(Surah Al-Isra’:36)

Namun, Islam itu indah. Islam memberi kelonggaran berbohong dalam keadaan tertentu. Rasulullah ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat mahu mendamaikan orang lain atau untuk kebaikan sesama masyarakat, dia tidak dikira berbohong.

Dalam satu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah S.A.W memberi kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak benar kecuali dalam 3 perkara:
  1. Ketika peperangan
  2. Untuk mendamaikan masyarakat/organisasi yang bertelagah
  3. Dalam perhubungan suami isteri
Justeru, kita sebagai umat Islam, janganlah menjadikan bohong sebagai amalan untuk menyelamatkan diri sendiri dalam sesuatu keadaan. Walaupun diberikan kelonggaran untuk berbohong, sekiranya boleh dielak, lebih baik dielakkan. Semoga kita dijauhi dari perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah. Amin….

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...