ahlan wasahlan

bismillahrrahmanirrahim

Wednesday, June 15, 2011

Riya' vs Ujub

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....


Setelah berfikir punya berfikir, akhirnya saya telah memilih tajuk ini untuk dikongsikan bersama. Riya' adalah satu sifat yang bertentangan dengan sifat ikhlas yang mana seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk menunjuk-nunjuk supaya dirinya mendapat pujian dan dipandang tinggi. Manakala, Ujub adalah satu sifat kagum atau bangga terhadap diri sendiri. Ujub ini merupakan penyakit hati yang buruk kerana boleh membawa kepada sifat ghurur iaitu terpedaya dengan kehebatan sendiri. Secara tidak langsung, ujub juga menyebabkan seseorang menjadi sombong diri. Kedua-duanya adalah sifat yang buruk dan patut kita jauhi.

Riya' merupakan sifat orang munafik dan merupakan salah satu daripada dosa besar. Ia juga merupakan maksiat hati yag mampu menggugat kejernihan jiwa dan amal seseorang. Nabi S.A.W pernah mengingatkan umatnya bahawa riya' itu sebagai syirik batin dan syirik kecil yang tersembunyi. Mereka yang memiliki sifat riya' ini akan diberikan balasan oleh Allah S.W.T di akhirat kelak. Allah S.W.T memerintahkan 3 orang iaitu orang yang berjihad, ahli al-Quran dan orang kaya yang riya' dalam amalan mereka dicampakkan ke dalam neraka kerana mereka beramal bukan kerana Allah. Mereka yang melakukan solat dalam keadaan riya' juga akan mendapat balasan neraka wail iautu tingkatan neraka yang ke-4. Allah akan menyuruh mereka meminta ganjaran dan balasan daripada orang yang dipertunjuk-tunjukkan amalannya di akhirat kelak

Ujub pula akan timbul apabila seseorang merasa ilmunya banyak, pandai dan alim berbanding orang lain. Dia sentiasa menyalahkan orang lain dan merasa hanya dirinya sahaja yang betul, suka melakukan kerja di hadapan orang lain dan mengambil kira kedudukan dan pangkat untuk dipuji, disebut-sebut dan dipuja. Mereka ini lebih suka mencari keredhaan manusia dan tidak tahan dengan ujian.

Justeru, kita perlulah berusaha untuk menghindarkan diri daripada sifat riya' dan ujub ini dengan merasa takut dengan kemasyuran kerana bimbang akan mempengaruhi diri dan agama. Ibrahim bin Adham pernah berkata, "Orang yang gila masyhur memang tidak jujur dengan Allah." Janganlah kita taksub pujian. Saidina Ali apabila dipuji, dia akan berdoa, "Ya Allah, janganlah engkau salahkan aku dengan apa yang mereka katakan, jadikanlah diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan, dan ampunilah aku terhadap perkara-perkara yang mereka tidak tahu." kita juga perlulah sentiasa mengingati bahawa segala kelebihan dan keistimewaan adalah anugerah Allah S.W.T. Allah boleh menarik anugerah itu bila-bila masa sekiranya Dia menghendakinya. Oleh itu, kita perlulah istiqamah memohon doa dan pertolongan daripada Allah dan berusaha melakukan seseuatu dengan ikhlas dengan niat kerana Allah S.W.T semata-mata. InsyaAllah...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...