Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang berkata, "Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa , sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki. "Setelah mendengarkan desa-desus dari orang ramai, maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menikmati himar itu, sungguh kurang adab anak itu. "Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua orang menunggang seekor himar,adalah sungguh menyeksakan himar itu. "Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak ditunggangi."
Dalam perjalanan kedua beranak itu ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangan dalam tiap-tiap satu."
KemudianLuqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak enjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya) orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
No comments:
Post a Comment